SEORANG pondan berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda $500 atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam, mencederakan dua individu dan mencuri.
Dia dikatakan melakukan kesalahan-kesalahan itu antara April dengan Julai tahun lalu.
Semalam, Mohammad Fadly Mohammed Wari mengaku salah di depan Hakim Daerah, Encik Roy Neighbour, atas satu tuduhan mengganggu ketenteraman awam dan dua lagi tuduhan mencederakan dua pegawai keselamatan di pusat beli-belah Mustafa Centre pada 4 April lalu. Fadly dan dua rakannya, juga pondan, dikatakan telah ke Mustaffa Centre pagi itu dengan berpakaian wanita. Fadly memakai baju hitam, skirt pendek dan kasut tumit tinggi. Salah seorang temannya, Handriana Nur Fresa Maiseira Mohd Saador, telah ditahan pegawai keselamatan kerana kesalahan mencuri. Menyusuli itu, Fadly telah menempeleng muka dua pegawai keselamatan di situ. Apabila polis tiba, Fadly kelihatan sedang memekik-mekik dan mencabar dua pegawai keselamatan itu untuk bergaduh. Dia juga mengaku mencuri sebuah beg kepit kulit ular sawa bernilai $1,780 daripada kedai jenama Gucci serta satu lagi beg kepit bernilai $755 dan sebotol minyak wangi bernilai $145 dari kedai jenama Tiffany & Co. di Marina Bay Sands pada 11 Julai lalu. Fadly tiba di mahkamah dengan memakai kemeja-T hitam dan seluar panjang khaki dengan ditemani ibu dan kakaknya. Ketika ditemui Berita Harian di luar bilik mahkamah, ibunya berkata Fadly mengenakan pakaian wanita sejak dua tahun lalu, namun mula berubah mengenakan pakaian lelaki pula dua bulan lalu. 'Adik saya tak jahat tapi dia banyak dipengaruhi kawan-kawannya,' ujar kakaknya pula.
source : cyberita
Post a Comment