SPONSOR! Klik IKLAN dibawah ini

Thursday, 4 April 2013

Yakini Janji ALLAH




FAHAMI benar-benar ajaran Islam, bersikap positif dan bina keyakinan diri untuk teruskan semangat hijrah membangun ummah.
Walaupun pembelajaran agama yang dijalankan masjid-masjid dan pertubuhan sudah cukup baik, usaha mesti diteruskan untuk membangkitkan serta menyuburkan lagi tahap pemahaman terhadap Islam.
Sejajar dengan itulah, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), melancarkan program pembelajaran agama bagi orang dewasa yang disebut Adil (Adult Islamic Learning).
Demikian ditekankan oleh Mufti, Dr Mohamed Fatris Bakaram, ketika menyampaikan tazkirah sempena Zikral Hijrah dan sekali gus merasmikan program Adil di Masjid Al-Iman Rabu lalu.
Dalam tazkirah itu, Mufti mengimbas tiga peristiwa hijrah di zaman Nabi:
1. Di peringkat awal dakwah di Makkah, para sahabat menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Mereka dihina, dicaci, dibenci. Ada yang diseksa dan disakiti hingga mati.
Suatu ketika, sekumpulan sahabat menemui Rasulullah mengenai cabaran yang dihadapi dan bertanya kenapa Nabi tidak berdoa minta diberi keselamatan dan perlindungan daripada kafir Quraisy. Dengan nada teguran Nabi berkata bahawa para sahabatnya itu kumpulan yang tidak sabar sedangkan ada orang sebelum mereka yang menghadapi ujian lebih dahsyat tetapi tetap pertahankan iman.
Teguran itu menunjukkan Rasulullah ingin tegaskan dan menyemai pada diri sahabat supaya jangan cepat putus asa dan jangan tergesa-gesa kerana orang beriman tidak akan dikecewakan Allah. Namun, kerana sahabat menghadapi ujian yang terlalu berat di Makkah, Nabi anjurkan mereka berhijrah ke Habsyah. Ini merupakan hijrah pertama.
2. Selepas kematian isterinya, Sayidatina Khadijah, dan pak ciknya Abu Talib, Nabi menghadapi gangguan lebih banyak daripada kafir Quraisy. Nabi lalu berhijrah ke Taif dengan harapan orang di Taif akan beriman. Tetapi keadaan sebaliknya berlaku. Ajakan Nabi ditolak dengan kasar. Mereka menghalau dan mencaci Nabi, malah melukakan Nabi dengan lontaran batu. Namun Nabi tidak putus asa dan menyerahkan keadaan kepada Allah.
Meskipun malaikat menawarkan untuk menghempapkan gunung ke atas penduduk Taif atas kedegilan mereka, jika Nabi mahu, Baginda menolak dan berharap akan lahir daripada keturunan mereka orang yang beriman.
Hasil keyakinan, kesungguhan dan kecintaan, ada sebahagian orang Makkah dan Taif akhirnya mengikut Nabi - menjadi sahabat dan mempertahankan Nabi, termasuk anak-anak musuh Nabi seperti Ikrimah (anak Abu Jahal) dan Khalid Ibnu Walid (anak Walid bin Mughirah) yang kemudian menjadi panglima perang Nabi dengan gelaran 'saifullah'.
3. Peristiwa hijrah Nabi sendiri. Nabi keluar dari Makkah ditemani sahabatnya, Abu Bakar As-Siddiq, dan dikejar orang kafir Quraisy. Antara tempat persembunyian Nabi ialah di Gua Thur. Sayidina Abu Bakar berasa amat bimbang Nabi ditemui musuh dan dibunuh. Namun Nabi menenangkan beliau dan menyatakan bahawa Allah bersama mereka. Maka itu, tidak perlu sedih, takut dan putus asa dan yakini pertolongan Allah.
"Tiga kisah itu memberi pengajaran bahawa penting bagi umat Islam mempunyai keyakinan diri, bersikap positif, tidak tergesa-gesa apatah lagi berputus asa.
"Apa pun ujian yang dihadapi, betapa berat pun cabaran yang ada dalam kehidupan, kita disuruh yakin dengan Allah, berusaha, bergantung hanya pada Allah dan teruskan perjuangan. Pasti kita tidak akan dikecewakan," kata Dr Fatris.
Cabaran yang dihadapi umat Islam bukan hanya berlaku pada zaman Nabi dan sahabat sahaja. Para sahabat dan tabi' tabiian telah menunjukkan keimanan menerusi keyakinan diri, bertindak positif, punya hati, fikiran dan akhlak yang positif hinggakan mereka diberi kemuliaan oleh Allah.
"Apabila terima ujian, jika kita sangka baik terhadap Allah, berfikiran, bersikap positif dan bertindak positif dan yakin akan masa depan yang Allah berikan kepada kita, insya-Allah Allah akan berikan kebaikan dan kejayaan kepada kita.
"... kalau kita ada sikap, perasaan, akhlak, pemikiran negatif - tidak yakin dengan Tuhan, dengan keupayaan diri, tak yakin dengan kelebihan dengan anugerah yang Allah berikan kepada kita... sehingga kita berasakan bahawa kita tidak dapat berbuat atau mengubah apa-apa - kalau itu tidak kita hijrahkan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi dalam peristiwa hijrah ke Habsyah, dakwah ke Taif dan hijrah ke Madinah, sampai bila pun kita tidak akan dikurniakan kekuatan oleh Allah swt," kata Mufti.
Beliau memetik hadis tentang rebut lima sebelum datang lima - sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sempit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.
Hadis ini menekankan sifat positif - manfaatkan apa yang ada pada kita.
"Tetapi kerana tak faham, ramai daripada umat Islam yang mati sebelum mati, yang sakit sebelum sakit, yang miskin sebelum miskin, yang tua sebelum tua.
"Kalau kita faham tentang banyak kelebihan yang Allah beri, kita akan mengatur langkah maju ke hadapan," ujarnya.
"Ayuh orak langkah, teruskan hijrah kita, bangunkan kekuatan kita dengan penuh rasa yakin diri dan positif terhadap anugerah yang Allah beri. Apa jua kesulitan yang dihadapi adalah nikmat daripada Allah untuk mengangkat darjat kita. Kalau tidak ada ujian, kita tidak ada semangat untuk membangkitkan diri kita menjadi lebih baik daripada semalam," ujar beliau.
Menekankan perlunya kekuatan iman, beliau berkata umat Islam perlu yakin dengan janji Allah, dengan kekuasaan dan kasih sayang Allah seperti yang ditunjukkan Rasulullah saw, bahawa kita adalah manusia yang dipilih menjadi umat Nabi.
Ini hanya dapat kita lakukan apabila kita mampu membangunkan kefahaman dengan sebenar-benarnya tentang agama Allah. Jika kita tidak faham, ia akan membuat kita terus mundur.
Sejajar dengan usaha membangkit kefahaman dan menyurkan kesedaran menjadi umat yang mulia, Muis melancarkan program Adil.
Menurutnya, program di masjid dan pertubuhan telah banyak beri manfaat.
"Program Adil ini ditawarkan sebagai melengkapi program yang telah sedia ada di masjid dan pertubuhan kerana nabi pesan jangan berasa cukup dan puas hati terhadap apa yang telah kita lakukan.
"Allah beri kemampuan, kekuatan dan pemikiran untuk membaiki dan mengukuhkan kefahaman kita. Agama Allah adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan hidup kita, dunia dan akhirat," ujarnya.

Sumber : cyberita
SUkA ARTIKEL INI ?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More