Mula-mula aku hanya mendengar kisah Si Tanggang ini dari arwah Nenek. Ketika itu aku masih belum ke sekolah lagi. Nenek aku selalu membuka cerita ketika hendak tidur. Ini dizaman sebelum radio dan tv. Cerita dari Nenek ini menjadi penglipur lara untuk membawa ngantuk. Macam-macam cerita yang aku dengar. Ada kisah Tuan Puteri, kisah Anak Raja, kisah Gergasi — macam—macam kisah. Ada kisah yang berulang kali aku dengar. Tidak muak-muak. Macam filem klasik Casablanca yang selalu diulang tayang.
Rumah kami jauh di pedalaman — di hulu kampung. Kerana duduk di hulu kampung menjadikan aku tidak hairan dengan kisah Orang Asli ini. Di akhir kampung kami ialah perkampungan Orang Asli. Aku selalu ternampak Orang Asli. Malah mengikut surah Nenek - bezanya keluarga kami dengan Orang Asli hanyalah yang kami telah menerima Muhamad sebagai Penghulu. Orang Asli tidak memerlukan Tok Penghulu dari negara Arab. Orang Asli telah ada Tok Batin mereka sendiri.
Si Tanggang adalah cerita anak Orang Asli. Ketika aku mendengar surah Si Tanggang ini dari arwah Nenek, aku tidak sedar tentang metapora yang ingin disampaikan. Aku tidak faham apa makna Si Tanggang ini. Apa yang menarik hati aku hanyalah Si Tanggang ini suka makan cikah panggang dan suka makan pisang salai. Nampaknya Si Tanggang ini memiliki selera yang tidak jauh dari selera aku. Aku pun suka pisang salai tetapi aku belum ada peluang untuk menikmati cikah panggang.
Kemudian bila aku masuk bersekolah dan mula pandai membaca aku telah bertemu dengan kitab Hikayat Si Tanggang. Aku rasa kitab ini aku baca ketika aku dalam darjah tiga. Hikayat ini cukup menarik hati aku. Malah hikayat ini lebih tepat dan panjang dari apa yang disurahkan oleh Nenek.
Paling menakjubkan untuk aku ialah gambar-gambar yang tertera dalam kitab ini. Untuk aku kitab ini bukan hanya sebuah hikayat malah ada gambar sebagai bahan bukti. Sampai ke hari ini aku masih ingat dengan jelas gambar lelehan darah Deruma - ibu Tenggang - yang tangannya di ketuk oleh Si Tanggang kerana cuba naik ke atas kapal. Gambar bilik-bilik gelap amat meyakinkan aku bahawa apa yang aku baca adalah fakta.
Gambar kapal Nakhoda Tanggang yang terbalik ada juga dalam kitab tulisan A.Samad Ahmad ini. Malah gambar Sang Pengarang yang membawa lampu minyak menyelidik kapal Si Tenggang ini menjadikan aku cukup terigin untuk melihat sendiri kapal Si Tanggang ini. Bayangkan anak kecil darjah tiga membaca Hikayat Si Tanggang Anak Derhaka - pastilah aku cukup terpengaruh. Malah ketika itu aku cukup yakin bahawa Batu Caves itu ialah kapal Nakhoda Tanggang yang telah disumpah menjadi batu.
Aku juga cukup yakin bahawa manusia yang bernama Tanggang ini wujud. Aku amat yakin semua gambar-gambar dalam kitab A.Samad Ahmad ini adalah bahan bukti yang tidak dapat dipertikaikan — walau pun pada ketika itu agak susah juga imajinasi aku untuk menghazam gua batu itu sebagai bilik tidur Si Tanggang.
Dua kali aku khatam kitab ini. Aku menjadi bangga kerana boleh bercerita dengan kawan-kawan tentang asal usul Batu Caves. Sayangnya ketika itu keluarga aku duduk di Jelebu dan untuk ke Batu Caves pada tahun 1959 adalah satu yang mustahil.
Aku bernasib baik kerana pada tahun 1960 ada rombongan orang-orang kampung aku melawat Kuala Lumpur. Ketika itu bukan senang untuk datang ke Kuala Lumpur walau pun hanya 70 batu dari Jelebu. Dengan cara membuat rombongan kami orang kampung dapat berkongsi menyewa bas untuk melihat Kuala Lumpur.
Melawat Kuala Lumpur adalah mimpi dan angan-angan berahi untuk anak sekolah seperti aku. Antara tempat yang dilawati ialah Bangunan Utusan Melayu, Bangunan Dewan Bahasa, Bangunan Parlimen dan Lake Garden untuk berehat dan membuka bekalan untuk makan tengah hari. Sebelah petang kami akan pergi ke Batu Caves — tempat Si Tanggang.
Sebenarnya aku tidak tahu letak duduk tempat-tempat yang ingin aku lawati ini. Kuala Lumpur bagitu besar dan amat asing untuk aku. Di wilayah mana letaknya Batu Caves tidak aku ketahui langsung. Pemandu bas kami dari Jelebu berhenti tiga kali untuk bertanyakan arah jalan ke Batu Caves.
Akhirnya petang itu aku sampai ke Batu Caves. Aduh! Aku mendongak dan ternampak tangga batu yang tinggi yang mengarah hilang ke dalam ke mulut gua batu. Ketika itu aku terfikir besar sungguh kapal Nakhoda Tenggang itu. Aku merasa bagitu gembira akhirnya niat dan cita-cita untuk melihat kapal Si Tenngang termakbul.
Aku memanjat dan cuba mengira anak tangga. Sampai setengah jalan kiraan aku bersimpang-siur. Akhirnya kiraan aku hilang kerana kepala aku sering berimajinasi tentang Si Tanggang. Di tepi tangga kelihatan hutan dan belukar yang meliar. Imijinasi aku agak susah untuk mengkahwinkan hutan belukar ini dengan laut dan kapal Nakhoda Tenggang.
Agak lengoh juga kaki aku memanjat tangga. Akhirnya aku sampai ke mulut gua batu. Diatasnya lopong. Aku agak kecewa kerana aku amat berharap akan bertemu dengan puluhan anak-anak kapal yang telah menjadi batu. Sekurang-kurangnya rangka-rangka batu yang menyerupai manusia. Semuanya tidak ada.
Aku bersiar mencari sesuatu untuk menguat dan membuktikan bahawa Nakhoda Tanggang ini wujud dan aku sedang berada dalam perut kapalnya. Apa yang aku lihat dalam Batu Caves pada tahun 1960 hanyakah gua kosong yang luas. Diatas gua ini terbuka lubang luas yang membawa masuk cahaya yang menerangi sebahagian dari gua ini. Aku ternampak kelawar berterbangan dan menghilangkan diri ke dalam gua.
Aku berjalan ke dalam gua yang agak gelap ini lalu aku ternampak patung yang aku amat pasti bukan patung anak-anak kapal Nakhoda Tenggang tetapi patung Hindu. Aku tidak mungkin silap kerana patung serupa ini pernah aku lihat dalam kuil Hindu di Kuala Klawang. Baru aku sedar bahawa orang India beragama Hindu telah menggunakan gua ini untuk bersembahyang.
Ketika aku meninggalkan mulut gua itu aku merasakan alangkah baik jika aku membawa lampu picit. Dengan lampu ini aku boleh masuk menjelajah jauh ke dalam gua batu ini. Besar kemungkinan aku akan bertemu dengan apa yang telah ditemui dan ditulis oleh oleh A.Samad Ahmad dalam bukunya Si Tanggang Anak Derhaka.
Aku manapak turun. Dan kali ini aku terperanjat besar kerana di sebelah kanan berhampiran dengan tangga pertama ada sebatang pokok mangga. Kewujudan pokok mangga ini tidak aku sedari ketika aku mula menaiki tangga. Melihat pokok mangga ini - aku teringat dibabak akhir Daruma ibu Si Tanggang telah datang membawa cikah panggang, pisang salai dan sebiji mangga ranum. Semua ini adalah makanan kesukaan Si Tenggang. Si Ibu ingin mengembalikan ingatan anaknya yang telah melupakan asal usulnya.
Apabila Sang Ibu ingin naik ke atas kapal Si Tanggang telah memukul tangan ibunya. Tanggang merasa malu dihadapan isterinya. Dia tidak mahu diketahui yang dia berasal usul dari Orang Asli. Dia telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Si Tanggang telah berkahwin dengan gadis Melayu anak seorang saudagar. Kini Tanggang bukan lagi anak sakai tetapi telah menjadi Melayu dan seorang Nakhoda.
Ketika Tanggang memukul tangan ibunya maka tercampaklah buah mangga itu ke tebing sungai. Ketika ini juga Talang, ayah Si Tanggang, membibit tangan isterinya untuk mengundur. Apabila mereka di tebing sungai Sang Ibu telah berdoa dan menyumpah anaknya yang derhaka. Ketika ini ribut dan taufan sampai dan kapal Si Tanggang terbalik lalu menjadi batu.
Buah mangga yang tercampak itu akhirnya tumbuh dan membesar. Pokok mangga ini adalah imej akhir yang aku teringat tentang Batu Caves 50 tahun dahulu. Pada petang itu aku meninggalkan Batu Caves dengan penuh kesedaran untuk tidak akan merasa malu akan asal usul aku dari darah Biduanda yang juga Orang Asli.
Hari ini aku tidak tahu bila bermulanya kapal batu Si Tanggang beralih menjadi tempat suci agama Hindu. Aku juga tidak tahu bagaimana kapal Si Tanggang ini beralih tangan untuk menjadi apa yang kita lihat hari ini. Hari ini aku ternampak bahawa telah didirikan satu patung besar disebelah kanan pintu masuk ke Batu Caves ini. Ini adalah Lord Murugan. Apakah sangkut pautnya Lord Murugan dengan Si Tanggang tidak pula aku selidiki.
Yang aku tulis ini hanyalah ingatan aku agar ianya menjadi kenang-kenangan. Tulisan ini hendaknya menjadi ingatan kepada anak semua bangsa diabad ini bahawa Batu Caves itu adalah sebahagian dari mitos Orang Asli. Sebelum Lord Murugan muncul di hadapan gua batu ini semangat dan roh Daruma dan Talang telah wujud dahulu.
Aku juga sedar dari Hikayat Si Tanggang Anak Derhaka ini meyakinkan aku bahawa agama ini adalah sosial konstruk. Tanggang dan kapal batunya juga adalah sosial konstruk untuk mengingatkan kita agar tidak menderhaka kepada ibu bapa dan jangan sesekali melupakan asal usul diri.
Hanya satu yang aku mimpikan agar satu hari nanti akan dibina patung Daruma dan Talang segah dan setinggi Lord Murugan. Biarlah roh Daruma dan roh Talang sama-sama mengajar anak semua bangsa untuk hidup bersama dan tidak melupakan asal usul kita.
END
by : Hishamuddin Rais
klik LIKE dibawah :)
Post a Comment